Wednesday 9 June 2010

:: Lichuk/Roban: 30 tahun 11 buah rumah panjang mengidam air paip

Sabah & Sarawak: Tiada air
Oleh Kandau Sidi
kandausidi@bharian.com.my
2010/06/10

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sabah_Sarawak_Tiadaair/Article


30 tahun penduduk dekat loji Lichok tunggu bekalan bersih

SARATOK: Walaupun terletak di kawasan tadahan air dan hanya lima kilometer dari loji pembersihan air Lichok, dekat pekan kecil Roban, namun ia tidak menjanjikan penduduk bakal menikmati bekalan air bersih.

Sudah lebih 30 tahun, kira-kira 800 penduduk daripada 11 rumah panjang di sekitar kawasan itu menagih bekalan air bersih disalurkan ke rumah panjang mereka, sehingga sekarang impian itu belum tercapai.

Situasi ini mencetuskan rasa tidak puas hati penduduk rumah panjang itu dan mereka mendesak supaya kerajaan mempercepatkan usaha menyalurkan bekalan air bersih ke rumah panjang mereka.

Rumah panjang terbabit ialah Rumah Banta, Rumah Undi, Rumah Engkin, Rumah Buchai, Rumah Ambas, Rumah Melina, Rumah Chenggi, Rumah Rayang, Rumah Steven, Rumah Akun dan Rumah Buyong.

Bekas ketua masyarakat di kawasan itu, Sudok Mesa, 38, berkata penduduk rumah panjang berkenaan berhak mendapat bekalan air bersih kerana mereka bertanggungjawab memelihara kebersihan sungai yang membekalkan air bersih kepada penduduk di daerah itu.

Beliau berkata, sudah sekian lama penduduk rumah panjang di kawasan berkenaan meminta supaya dibekalkan bekalan air bersih, namun permintaan itu belum ditunaikan.
"Walaupun sudah dijanjikan untuk memperoleh bekalan air bersih yang dibekalkan loji berdekatan, namun sehingga sekarang kami belum lagi menikmatinya. Ketiadaan bekalan air bersih menyukarkan aktiviti harian penduduk terutama ketika berlangsung sesuatu majlis seperti sambutan perayaan Gawai Dayak baru-baru ini.

"Kami terpaksa meminta pihak berkuasa tempatan membekalkan air bersih ke rumah panjang yang memerlukannya. Namun, tidak semua rumah panjang yang memperoleh bekalan yang diminta," katanya kepada Berita Harian.

Selain rumah panjang, sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Brayang juga belum menikmati kemudahan sama.

Pelajar sekolah dan guru yang mengajar di sekolah itu masih bergantung sepenuhnya kepada bekalan air hujan dan air sungai berdekatan untuk kegunaan memasak, mandi dan membasuh pakaian.

Sudok berkata, keperluan bekalan air bersih untuk penduduk rumah panjang itu amat penting untuk memastikan memastikan tahap kesihatan penduduk yang lebih baik.

Katanya, sebelum ini penduduk rumah panjang berkenaan bergantung kepada bekalan air daripada sumber takungan air terjun yang terletak lebih 20 kilometer dari rumah panjang mereka.

Namun, beliau berkata, bekalan air berkenaan kebanyakannya tidak dapat digunakan kerana paip sudah lama dan pecah, manakala penyelenggaraannya sukar kerana paip getah berkenaan ditanam dalam tanah dan hampir reput.

"Lagipun, tiada jaminan air yang digunakan sejak sekian lama berkenaan terjamin tahap kebersihannya terutama sebagai untuk dijadikan sebagai air minuman jika tidak dimasak terlebih dulu," katanya.

Sementara itu seorang penduduk Rumah Undi yang enggan namanya disiarkan berkata, sudah terdapat individu tertentu cuba mempolitikkan masalah bekalan air bersih di kawasan berkenaan untuk kepentingan diri.

"Sekarang pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sudah semakin hampir. Masalah bekalan air bersih yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan boleh dijadikan 'modal' pihak berkepentingan untuk mendapatkan sokongan pada pilihan raya umum nanti. Ia mungkin tidak dianggap isu besar, tetapi boleh mempengaruhi sokongan terhadap calon Barisan Nasional (BN).

“Bagi penduduk air adalah antara tiga elemen asas yang amat penting selain bekalan elektrik dan jalan raya," katanya. Sehubungan itu, beliau mahu supaya wakil rakyat di kawasan berkenaan tampil menyuarakan dan menyelesaikan masalah itu supaya tidak terus berlarutan," katanya.

Beliau berkata, wakil rakyat BN perlu turun padang menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di kawasan mereka, supaya rakyat terus menyokong kepemimpinan mereka.




No comments:

Post a Comment